Demikian dinyatakan oleh Farid Ahmed, 59, merujuk kepada Brenton Tarrant, 28, warga Australia yang melakukan serangan ganas di dua buah masjid di sini, mengorbankan 50 orang manakala berpuluh-puluh yang lain cedera, Jumaat lalu.

Farid yang berkerusi roda kehilangan isteri, Husna, yang terbunuh selepas ditembak Tarrant di depan pintu masuk Masjid Al Noor.

"Saya mahu memberikan mesej kepadanya (Tarrant), atau jika dia ada rakan yang berfikiran sepertinya, saya masih kasihkan kamu, sebagai seorang insan.

"Saya tak bersetuju dengan apa yang kamu lakukan, kamu berada pada haluan yang salah, petunjuk yang salah, tetapi saya percaya kamu. Bahawa kamu ada potensi yang sangat baik dalam hati kamu," katanya ketika ditemui Reuters di kediamannya di sini.

Susulan serangan itu, kebencian menjadi tumpuan umum memandangkan skala kematian yang besar di bandar ini.

Bagaimanapun, ada juga rasa kemurahan hati dan perpaduan yang dipimpin oleh mangsa seperti Farid yang berhujah kepada mengampunkan kesalahan orang lain.

"Jika ada peluang, saya nak berjumpa dengan dia (Tarrant). Saya mahu peluk dia dan katakan kepadanya suara hati saya. Saya tiada dendam, saya tidak membenci dia dan tidak akan pernah membenci.

"Saya mahu peluk dia dan katakan saya memaafkannya. Saya mahu beritahu dia, jika dia masih ada ibu, saya mahu peluk ibunya juga dan beritahu si ibu, saya akan layan kamu seperti ibu saudara saya sendiri, ini mesej yang saya hendak sampaikan," jelasnya.