Speaker Parlimen Arab, badan di bawah Liga Arab, Ahmed Mohammed Al Jarwan berkata, serangan itu adalah jenayah yang menjadi bukti kumpulan itu se­ngaja menyasarkan tanah suci bagi umat Islam dalam ‘memainkan perasaan mereka’.

Sehubungan itu, Ahmed menggesa negara-negara Islam supaya bersatu bagi menghalang kumpulan Houthi dan pihak yang menyokong pemberontak tersebut daripada melakukan lebih banyak jenayah.

Menteri Luar Yemen, Abdel-Malek Al-Mekhlafi pula berkata, cubaan serangan ke atas Mekah itu menjejaskan kestabilan rantau Asia Barat dan membuktikan kumpulan pemberontak ber­kenaan sebagai ancaman kepada kestabilan dunia.

“Kami mencari keamanan namun mereka mahu berperang, kami mahukan kestabilan di Yemen dan di rantau ini namun mereka mencari kemusnahan sekali gus mengesahkan mereka adalah ancaman kepada keamanan dunia.

“Pada masa sama, perbuatan jenayah ini adalah bukti bahawa Houthi adalah alat yang digunakan Iran untuk memusnahkan Yemen dan negara jirannya,” katanya sebagaimana lapor portal Arab News.

Dalam pada itu, Duta Jerman ke Arab Saudi, Dieter W. Haller memberitahu, adalah penting bagi semua pihak terlibat dalam konflik di Yemen untuk kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian selaras resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami mengecam serangan seumpama ini dengan sekeras-kerasnya,” kata beliau.

Duta Norway ke Arab Saudi, Rolf Willy menegaskan, serangan itu dikecam oleh mereka yang cintakan keamanan.

“Saya percaya perkara ini perlu diselesaikan di meja rundingan secara aman,” katanya.

Turut senada dengan kecaman itu adalah Duta India ke Arab Saudi, Ahmad Javed yang menegaskan sebarang serangan ke atas tanah suci perlu dibantah sekeras-kerasnya.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir berkata, serangan kumpulan pemberontak itu bukan sahaja melanggar perjanjian damai malah turut menyasarkan Mekah yang merupakan lokasi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan haji dan umrah.

Jurucakap tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi, Brigedier Jeneral Ahmed Al-Assiri menambah, menjadikan tanah suci sebagai sasaran peluru berpandu balistik menunjukkan ‘slogan palsu’ yang digunakan kumpulan Houthi.

Sementara itu, menurut Menteri Luar Bahrain, Khaled bin Ahmad Al-Khalifah, serangan itu satu pencabulan kepada semua perjanjian antarabangsa malah merupakan jenayah paling besar pernah berlaku.