Portal berita Mail Online melaporkan, kejadian tersebut berlaku di Kuil Wat Pha Luang Ta Bua atau dikenali sebagai Kuil Harimau apabila mangsa, Luang Ta Jan, 64, sedang bergurau dan berpelukan dengan harimau seberat 300 kilogram itu.

Namun, Ta Jan secara tidak sengaja tertarik harimau tersebut dan terjatuh, menyebabkan mukanya dicakar oleh haiwan pemangsa berkenaan, mengakibatkan mangsa mengalami pendarahan di muka, patah gigi dan tangan.

Susulan itu, Ta Jan dibawa ke Hospital Thanakarn untuk dirawat dan dia kini ditempatkan di unit rawatan rapi.

Pengarah hospital berkenaan, Sahathep Sawarngnet menafikan laporan harimau terbabit menyerang Ta Jan, sebaliknya mendakwa kejadian itu tidak disengajakan.

“Harimau itu tidak berniat menyerang mangsa dan hanya kukunya terkena muka Ta Jan apabila dia terjatuh.

“Jika kejadian itu satu serangan sebenar, muka Ta Jan pasti akan hancur dicakar,” tambahnya.

Insiden tersebut, sekali gus memberi amaran kepada pelancong yang gemar melawat kuil di berkenaan untuk bergambar bersama harimau yang dipelihara oleh sami-sami di kuil tersebut supaya lebih berhati-hati.

Kuil Harimau yang terletak di barat wilayah Kanchanaburi, mempunyai reputasi kontroversi dalam kalangan kumpulan hak asasi haiwan dan pihak perhilitan Thailand yang menuduh tindakan sami-sami itu membela haiwan tersebut melanggar undang-undang.

Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP) Thailand berkata, kuil terbabit mengurung kesemua harimau itu tanpa kelulusan dan menghalang pihak berkuasa untuk menempatkan haiwan berkenaan di lokasi yang sesuai.

Bulan lalu, pihak DNP Thailand melarang pihak pengurusan kuil berkenaan mengenakan bayaran masuk kepada pelancong yang mahu bergambar bersama harimau tersebut.