NEW DELHI 1 Sept. - Polis India menahan seorang sami Buddha selepas didakwa mencabul 15 kanak-kanak lelaki di pusat meditasi miliknya di bandar warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bodh Gaya.
Menurut polis, sami berkenaan dikenali sebagai Bhante Shanghpriya Sujoy ditahan selepas kesemua mangsa mengadu mereka telah dipukul, didera dan dipaksa menari dalam keadaan bogel.
“Mangsa mengadu kepada penjaga masing-masing berhubung penderaan fizikal dan seksual yang dilakukan oleh sami berkenaan.
“Mereka menyatakan telah dipukul dan didera secara seksual di sekolah. Mereka juga dikurung tanpa makanan dan minuman jika enggan mengikut apa yang disuruh,” kata pegawai kanan polis di Bodh Gaya yang enggan dikenali. - AFP