Pihak berkuasa Belgium berkata, pertunjukan bunga api dan festival sempena kedatangan tahun baharu yang disertai 100,000 pengunjung tahun lalu tidak akan diteruskan tahun ini selepas mengesan rancangan IS menyerang bandar raya ini.

Keputusan untuk membatalkan sambutan itu dibuat sehari selepas dua individu ditahan kerana dipercayai merancang untuk menyerang beberapa kawasan tertentu di Brussels semasa majlis sambutan dan selepas seorang lagi individu disoal siasat berkaitan dengan serangan di Paris bulan lalu.

“Kita terpaksa membatalkan pertunjukan bunga api dan semua rancangan untuk program malam ini,” ujar Datuk Bandar, Yvan Mayeur kepada saluran penyiaran tempatan, RTBF sambil menyatakan beliau tidak sanggup mengambil risiko jika program tersebut diteruskan.

Di Paris yang menyaksikan sebanyak 130 orang dibunuh oleh militan IS pada 13 November lalu, turut membatalkan pertunjukan bunga api tahunan di Champ-Elysees manakala seramai 11,000 pasukan polis, tentera dan pasukan bomba akan melakukan rondaan di ibu negara itu.

Di Red Square, Moscow, yang menjadi lokasi utama penduduk berkumpul untuk meraikan sambutan tahun baharu juga akan ditutup kepada pengunjung hari ini, manakala Vienna pula akan mempertingkatkan kawalan keselamatan menjelang sambutan tahun baharu.

Sementara itu, di Turki, pegawai berkata, dua individu yang dipercayai anggota IS yang ke-dua-dua warganegara Turki merancang melancarkan serangan berani mati di tengah bandar raya ini, tengah malam ini ketika sambutan tahun baharu.

Sejak Oktober lalu, Turki memperketatkan kawalan keselamatan apabila dua pengebom berani mati meletupkan diri mereka di khalayak ramai di Ankara, mengorbankan 103 dalam satu serangan paling buruk di negara ini.

Menurut saluran televisyen swasta, NTV polis antikeganasan berjaya memberkas kedua-dua individu itu di daerah Mamak, di pinggir ibu negara, yang didiami lebih lima juta penduduk.

“Mereka juga disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS dan merancang mengadakan serangan pada sambutan tahun baharu di Dataran Kizilay Ankara,” ujar seorang pegawai yang enggan mendedahkan namanya.

Sementara itu, pejabat Gabenor berkata, suspek berkenaan yang dikenalpasti sebagai M.C dan A.Y merancang mengadakan serangan di dua lokasi di Kizilay, iaitu di bahagian luar sebuah pusat membeli belah terkenal di sini dan di sebatang jalan yang berdekatan kelab malam. – AFP