Menurut penganjur dan saksi, berpuluh-puluh sami yang berarak ke Dewan Mesyuarat YMCA di sini bukan sahaja menggangu perjalanan majlis, malah mengusir penduduk Islam yang menghadiri acara berkenaan.

Penganjur majlis, Pertubuhan Ulama Islam menerusi setiausahanya, Kyaw Nyein berkata, sambutan Maulidur Rasul diadakan setiap tahun tanpa sebarang masalah sebelum ini selain menyifatkan tindakan sami ber­kenaan sebagai menyerang kebebasan beragama.

“Kumpulan sami itu tidak memberitahu apa kesalahan kami sebaliknya terus mengusir kami dari dewan itu. Mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan?,” katanya.

Jelas saksi pula, polis turut dipanggil ke lokasi kejadian susulan kekecohan itu namun gagal melakukan apa-apa.

Dalam perkembangan ber­kaitan, utusan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee tiba di Myanmar lewat malam semalam untuk kunjungan selama 12 hari ke negara ini bagi memantau pen­deritaan etnik minoriti seperti Rohingya yang ditindas kerajaan.

Beliau hari ini mengunjungi negeri Kachin, lokasi bergolak antara gerila etnik Kachin de­ngan tentera kerajaan dan dijangka mengunjungi Rakhine serta Naypyidaw.

Jurucakap Presiden, Zaw Htay berkata, satu pasukan ke­selamatan akan mengiringi Lee sepanjang lawatannya ke kawasan berkenaan.

Tambah beliau, Lee juga dijadual mengunjungi Bangladesh dari Rabu hingga Jumaat ini. – AFP/REUTERS