Robot yang dikenali sebagai Salto itu berukuran 26 senti­meter tinggi dan seberat 100 gram, namun mampu melompat lebih tinggi daripada seekor katak dan hampir sama tinggi dengan lompatan haiwan galago atau kongkang.

Menurut Jurnal Science Robo­tics, Salto juga mampu melompat dengan cukup pantas, lebih baik berbanding manusia namun tidak mampu menandingi mesin lain yang dicipta untuk melompat lebih tiga meter dalam satu lonjakan.

Salto yang merupakan robot satu kaki boleh melompat dari lantai dan melambung ke depan serta melonjak dari dinding ke tempat yang lebih tinggi.

Para penyelidik berharap robot itu mampu membantu para penyelamat kerana mudah melalui celah-celah runtuhan dan permukaan yang keras.

Salto bermakna ‘saltatorial’ iaitu lonjakan pergerakan di atas halangan keras.

Seorang penyelidik di Universiti California, Duncan Haldane berkata, sasaran mereka adalah penciptaan robot mencari dan menyelamat yang kecil dan tidak mengganggu sisa runtuhan.

“Robot itu mesti mampu bergerak pantas di celah-celah runtuhan bangunan,” katanya.

Menurutnya, Salto mungkin tidak mampu menarik keluar mangsa daripada runtuhan tetapi dilengkapi alat pengesan yang memberi isyarat kepada para penyelamat mengenai lokasi mang­sa.

Bagaimanapun katanya, robot itu kini di peringkat ujian makmal dan masih belum diuji dalam kejadian sebenar.

Malah ujarnya, bateri yang digunakan hanya mampu bertahan beberapa minit namun bergantung kepada tugas yang dilaksanakan.

Kajian tersebut dibiayai oleh Makmal Penyelidikan Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Yayasan Sains Kebangsaan. – AFP