Lapor Mail Online, tiga rangka dinosaur berkenaan yang ‘masih dalam keadaan baik’ ditemukan di Rio Grande do Sul dan dianggarkan hidup kira-kira 225 juta tahun yang lalu.

Spesies tersebut dikenali se­bagai Macrocollum itaquii, dikatakan hanya makan sayur-sayuran.

Selain itu, spesies terbabit mempunyai ketinggian 1.5 meter dan sepanjang 3.6 meter serta seberat 90.7 kilogram.

Salah satu ciri-ciri menarik adalah lehernya yang panjang dan saintis percaya dinosaur itu merupakan spesies sauropodomorpha berleher panjang tertua pernah dijumpai.

Menurut laporan dikeluarkan dalam jurnal Biology Letters, lehernya yang panjang itu memberikannya kelebihan untuk mendapatkan sumber makanan.

Spesies berkenaan saling berkait rapat dengan sauropod seperti Brontosaurus - herbivor berleher panjang yang mempunyai empat kaki serta bersaiz sepuluh kali ganda lebih besar.

Namun, tidak seperti Brontosaurus, Macrocollum itaquii berjalan dengan dua kaki.

Dinosaur terbabit dipercayai wujud ketika zaman Triassic, apabila Brazil masih lagi sebahagian daripada benua purba dikenali sebagai Pangaea.