Daily Mail melaporkan, kumpulan saintis itu mendakwa, terdapat kemungkinan untuk mengorek asteroid tersebut bagi mendirikan stesen angkasa lepas.

Mereka membuktikan kemungkinan tersebut menerusi matematik iaitu dengan asteroid yang betul untuk meletakkan silinder stesen angkasa di dalam batu bersaiz beberapa ratus kaki lebar.

Pakar mengatakan kemungkinan logistik konsep tersebut bagaimanapun masih menjadi isu dan dianggarkan memerlukan beberapa dekad untuk direalisasikan.

Sesetengah saintis menolak kajian tersebut dan mendakwa komposisi fizikal asteroid tidak diketahui untuk memberi jaminan stesen angkasa di dalam batuan besar itu tidak akan menyebabkannya retak dan pecah.

Dr. Thomas Maindl dari Universiti Vienna berkata, terdapat dua manfaat utama rancangan tersebut iaitu boleh mengelakkan kerosakan stesen angkasa akibat radiasi dan memboleh­kan aktiviti perlombongan dilakukan.

“Sekiranya kita menjumpai asteroid yang cukup stabil, kita mungkin tidak memerlukan dinding aluminium atau sebagainya. Mungkin boleh menggunakan keseluruhan asteroid sebagai stesen angkasa,” katanya kepada New Scientist.

Visual untuk projek berpotensi tersebut masih belum ada dan mungkin kelihatan seperti gua yang ringkas hingga ke kapal ang­kasa yang kompleks seperti Ste­sen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Asteroid yang diperlukan mestilah batu padat yang berupaya berputar satu hingga tiga kali seminit bagi membekalkan graviti yang mencukupi dalam memastikan projek berkenaan berjaya.

Bagaimanapun untuk perlombongan di permukaan ke­ba­nyakan asteroid adalah mustahil kerana graviti yang dihasilkan batu tersebut menyebabkan penukul dan peralatan lain tidak dapat digunakan.