Saintis dari Universiti Edith Cowan berkata, ujian baharu itu dapat membantu doktor mengesan penyakit kulit yang boleh membawa maut tersebut sebelum ia merebak melalui tubuh manusia.

“Pesakit yang dikesan mengalami melanoma pada peringkat awal mempunyai jangka hayat selama lima tahun antara 90 hingga 90 peratus,” kata ketua penyelidik kajian itu, Pau­line Zaenker dalam satu kenyataan.

Zaenker menjelaskan, kadar peluang hidup pesakit akan jatuh kurang daripada 50 peratus jika kanser itu merebak ke dalam badan manusia.

“Ini membuatkan ujian darah itu amat menarik sebagai alat pemeriksaan yang berpotensi kerana ia boleh mengesan melanoma pada peringkat awal ketika ia masih boleh dirawat,” katanya.

Kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Oncotarget, hari ini termasuk ujian melibatkan 105 orang pesakit dengan melanoma dan 104 individu sihat.

Menurut saintis, prosedur itu me­ngesan melanoma peringkat awal dalam 79 peratus kes.

Melanoma ketika ini dikesan menggunakan imbasan visual oleh doktor dengan mengambil sampel daripada bahagian badan disyaki dan melakukan ujian biopsi.

Zaenker berkata, proses baharu itu melibatkan mengenal pasti antibodi dihasilkan tubuh pesakit sebagai tindak balas kepada kanser tersebut.

“Kami memeriksa sebanyak 1,627 jenis antibodi bagi mengenal pasti kombinasi 10 antibodi yang paling me­nunjukkan kehadiran melanoma pada pesakit yang disahkan berban­ding sukarelawan yang sihat,” katanya.

Sementara itu, saintis terbabit akan menjalankan satu la­gi percubaan klinikal yang ber­langsung selama tiga ta­hun untuk mengesahkan pe­ne­muan berkenaan dan ber­harap dapat mengadakan ujian yang dapat digunakan oleh klinik selepas ini. – AFP