Portal BBC melaporkan, kajian oleh pusat pengajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Global Challenges membangunkan peranti psikologi bagi menangani masalah penyelewengan fakta.

Menurut ketua penulis utama kajian, Dr. Sander van der Linden, tindakan mendedahkan pembaca sejumlah kecil maklumat salah dengan lebih awal dapat membantu sebarang pertubuhan menafikan penyebaran berita palsu.

“Maklumat salah boleh menjadi bahaya kerana tersebar dan merebak seperti virus.

“Matlamat kajian ini adalah menyediakan satu himpunan kognitif yang memberi tenta­ngan kepada maklumat salah,” katanya.

Menurut kajian itu, perang saudara di Syria dan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) banyak menawarkan berita palsu kepada pembaca.

Contoh lain, lebih 2,000 penduduk AS diberikan dua berita tentang isu pemanasan global.

Jelas penyelidik, apabila maklumat itu disampaikan secara berturut-turut, pengaruh fakta yang kukuh membuatkan orang ramai mengabaikan berita palsu berkenaan.

Namun apabila maklumat itu disertakan dengan maklumat yang salah dalam bentuk amaran, berita palsu berkenaan kurang memberi kesan.

Sementara itu, laporan menyebut kerajaan Jerman telah mencadangkan penubuhan unit khas untuk memerangi berita-berita palsu khususnya menje­lang pilihan raya nanti.