Dalam satu temu bual dengan Future TV di Riyadh semalam, Saad menolak dakwaan beliau dikenakan tahanan rumah di Arab Saudi.

“Saya bebas di sini (Arab Saudi). Jika saya mahu pergi ke mana-mana, bila-bila masa saya boleh pergi. Saya akan pulang ke Lebanon dalam masa terdekat, mungkin lagi dua atau tiga hari,” katanya.

Saad, 47, mengumunkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Lebanon menerusi satu siaran televisyen di Riyadh pada 4 November lalu dan sehingga kini masih belum pulang ke negara asalnya.

Bagaimanapun, Presiden Le­ba­non, Michel Aoun masih belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan beliau dan memaklumkan pergerakannya dikawal.

Pengumuman peletakan jawatan itu dibuat ketika hubungan tegang antara Riyadh dan Teheran semakin memuncak yang menyaksikan perebutan kuasa melibatkan Lebanon, Syria dan Yemen.

Ketika itu, Saad menuduh Iran dan sekutu Lebanon iaitu Hezbollah mengawal negaranya dan menjejaskan banyak kawasan.

“Kami tidak boleh meneruskan pentadbiran jika Iran masuk campur dalam urusan di semua negara Arab.

“Mungkin Arab Saudi dan Iran mempunyai hubungan yang tidak stabil, tetapi kenapa perlu jadikan Lebanon sebagai orang tengah? Mengapa libatkan kami atas urusan yang tidak sepatutnya?” ujarnya.

Dalam temu bual tersebut, Saad juga memberitahu bahawa beliau ingin menghantar sendiri surat peletakan jawatannya ke Lebanon namun niatnya terbatal ekoran mendakwa ada situasi bahaya.

Katanya, beliau juga sanggup membatalkan peletakan jawatannya jika konflik campur tangan serantau dihentikan. – AFP