Sejak dua tahun lalu, siasatan bersama PBB dan Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) mendapati kerajaan Syria menggunakan agen saraf sarin dalam serangan pada 4 April lalu dan juga klorin sebagai senjata selain menuduh militan Daesh menggunakan gas mustard.

Semalam, Rusia menggunakan kuasa veto membatalkan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang dirangka Jepun untuk memperluaskan siasatan selama sebulan.

Moscow turut menyekat resolusi digubal Amerika Syarikat (AS) pada hari Khamis dan 24 Oktober lalu untuk memperbaharui siasatan yang diwujudkan majlis itu pada tahun 2015.

Rusia telah menggunakan 11 kuasa vetonya untuk melindungi sekutunya Syria daripada menghadapi kemungkinan tindakan Majlis Keselamatan sejak perang saudara bermula pada tahun 2011.

Draf resolusi dirangka Jepun menerima 12 undi yang memihak sementara China berkecuali dan Bolivia menyertai Rusia untuk menolaknya.

Selepas undian tersebut majlis itu bertukar kepada perbincangan tertutup atas permintaan Duta Sweden ke PBB, Olof Skoog untuk meneruskan usaha memperbaharui siasatan tersebut.

“Rusia membazirkan masa kita. Tindakan negara itu hari ini dan beberapa minggu lalu sengaja dilakukan untuk melewatkan, mengalihkan perhatian dan menjejaskan usaha mencari pihak bertanggungjawab yang melakukan serangan kimia di Syria,” kata Duta AS ke PBB, Nikki Haley. REUTERS