Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) seperti dipetik oleh agensi berita tempatan sebagai berkata, bot pengawal sempadannya telah merampas kapal tentera laut Ukraine di Laut Hitam dan menggunakan senjata bagi memaksa kesemua kapal berkenaan berhenti.

Tambah FSB, mereka terpaksa bertindak kerana kapal terbabit terdiri daripada dua kapal meriam bersenjata kecil dan bot tunda - telah memasuki kawasan perairan Rusia secara haram, cuba melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang serta mengabaikan amaran untuk berhenti.

Menurut FSB, tiga anak kapal Ukraine cedera dalam insiden tersebut dan sudah menerima rawatan.

Insiden terbabit me­­ning­katkan lagi ke­tega­ngan antara kedua-dua negara sejak lebih 10,000 orang terbunuh susulan pemberontakan yang disokong Kremlin tercetus pada April 2014 selepas Rusia me­rampas Crimea daripada Ukraine.

Sejak Rusia merampas Cri­mea, Kremlin membina jam­batan menghubungkan wilayah itu ke selatan Rusia, yang melintasi Selat Kerch.

Selat Kerch merupakan per­airan kecil menghubungkan Laut Hitam ke Laut Azov, yang menjadi ‘tuan rumah’ kepada dua pelabuhan pen­ting Ukraine.

Dalam pada itu, Ukraine menafikan kapalnya me­la­kukan sesuatu yang menyalahi undang-undang selain menuduh Rusia bertindak secara agresif dan meminta komuniti antarabangsa menghukum Kremlin.

Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berkata, beliau akan memberi cadangan kepada Parlimen untuk melaksanakan undang-undang tentera.

Susulan insiden itu, kira-kira 150 orang berhimpun di luar bangunan Kedutaan Rusia di Kiev dan sesetengah daripada mereka membaling suar.

“Kami berhimpun di sini hari ini bagi membantah tindakan Rusia kerana melepaskan tembakan ke arah tentera kami.

“Kami sangat marah. Kami patut memutuskan segala hubu­ngan diplomatik dengan Rusia sejak dahulu lagi,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Oleksiy Ryabov kepada Reuters.

Menurut diplomat, Maj­lis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan pertemuan de­ngan Rusia dan Ukraine bagi membincangkan perkem­bangan terkini berhubung insiden ber­kenaan.

Sementara itu, Kesatuan Ero­­pah (EU) dalam satu kenya­taan berkata, blok tersebut menggesa Rusia untuk memulihkan kea­daan laluan di selat terbabit dan mahu kedua-dua pihak mengadakan dialog bagi meredakan ke­tegangan.

Jurucakap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut mengeluarkan gesaan serupa kepada kedua-dua pihak.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, menurut agensi berita RIA memetik pegawai pelabuhan sebagai berkata, Rusia membuka semula Selat Kerch kepada kapal selepas insiden terbabit. – REUTERS