Antara tuduhan yang dikaitkan dengan Rusia termasuk nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh oleh pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK; kes meracun bekas ejen, Sergei Skripal dan anak pe­rempuannya, Yulia di London; serta serangan senjata kimia terhadap penduduk awam di Syria.

Pengarah Kawalan Senjata dan Pencegahan, Kementerian Luar Rusia, Vladimir Ermakov berkata, pendekatan yang diambil oleh Barat itu tidak akan meruntuhkan kerajaan negara ini.

“Barat tidak pernah memberi sebarang bukti yang jelas atas semua dakwaan yang mereka kemukakan, terutamanya berhubung insiden berprofil tinggi, namun mereka tetap bertindak seolah-olah apa yang didakwa adalah benar belaka,” katanya ketika menghadiri mesyuarat bersama wakil-wakil kedutaan luar di sini hari ini.

Ermakov membuat kenyataan itu susulan pelbagai tuduhan dan ancaman yang dikeluarkan oleh negara-negara Barat berhubung kes meracun Skripal dan anak perempuannya.

Jelas beliau, mana-mana pihak yang membuat pendakwaan tanpa mengemukakan bukti kukuh adalah secara jelas mempunyai niat buruk untuk menjatuhkan pihak lain.

“Jika anda semua ingin menyi­asat kes melibatkan Skripal, kami juga sudah bersedia untuk melakukan penyiasatan. Terdapat banyak kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar United Kingdom (UK) dan sudah pasti pihak berkuasa Bri­tain mempunyai gambaran jelas tentang apa yang berlaku terhadap Skripal dan anak perempuannya di Salisbury,” tegasnya.

Selain itu, Ermakov turut mempersoalkan adakah benar bahawa AS tidak mempunyai sebarang data mengenai apa yang berlaku terhadap pesawat MH17.

Jelasnya, AS mempunyai kemudahan teknologi seperti satelit beresolusi tinggi yang berupaya merakam dan memantau sebarang situasi, namun negara itu memilih untuk berdiam diri berbanding berkongsi segala maklumat yang mereka ketahui.

Mengenai dakwaan melancarkan serangan kimia di Syria pula, Ermakov menegaskan bahawa kredibiliti siasatan yang bersifat berat sebelah secara tidak langsung menjejaskan siasatan antarabangsa di negara tersebut.

“Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) hanya be­kerjasama dengan negara-negara Barat dan keadaan itu memberi kesan terhadap siasatan keseluruhan di Syria,” jelasnya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Perdana Menteri Britain, Theresa May mendesak barisan kepemimpinan Kesatuan Eropah (EU) untuk menentang Rusia berhubung insiden yang menimpa Skripal dalam sidang kemuncak EU di Brussels.

Beliau dijangka menjelaskan mengenai perkembangan siasatan kes tersebut kepada negara-negara sekutu.

“Sebagai sebuah rangkaian kuasa yang demokrasi, UK akan berdiri bersama-sama EU dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menghadapi ancaman ini. Perpaduan akan menjamin kejayaan,” katanya.

Bagaimanapun, langkah itu di­­­bimbangi boleh menjejaskan hu­bungan negara itu dengan Kremlin. – AGENSI