Bagaimanapun, isu tersebut kembali reda seketika apabila Washington dan Pyongyang menyatakan persetujuan untuk mengadakan rundingan pada bulan depan.

Ketika ini, perhatian dunia beralih pula kepada Rusia yang boleh dikatakan sedang berdepan dengan saat genting melibatkan politik, sosial dan ekonominya.

Kes serangan agen saraf terhadap bekas ejen Rusia iaitu Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Salisbury, Britain baru-baru ini menjadikan isu terbaharu untuk mengaitkan Moscow dengan pelbagai tuduhan yang boleh menjatuhkan reputasi negara itu.

Boleh dikatakan, kes melibatkan Skripal menjadi antara tuduhan paling berat yang perlu ditanggung oleh Rusia ketika ini selepas insiden pesawat Malaysia Airlines, MH17 yang ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu darat ke udara, BUK pada 2014 ketika melintasi kawasan timur Ukraine yang dikuasi pemberontak pro-Rusia.

Nahas itu menyaksikan semua penumpang dan anak kapal seramai 298 orang terbunuh dengan kebanyakan mangsa adalah warga Belanda.

Selain itu, perang di Syria juga me­nguji Rusia yang merupakan sekutu negara tersebut apabila Barat menuduh Moscow menjadi dalang kepada krisis yang berlaku dengan melancarkan serangan udara terhadap penduduk awam sehingga meragut banyak nyawa, selain didakwa menggunakan senjata kimia.

Namun, Rusia baru-baru ini menyelar tindakan Barat yang dikatakan gagal mengemukakan sebarang bukti berhubung kesemua tuduhan yang dilemparkan terhadap negara tersebut.

‘Perang’ antara Rusia dengan Britain dan Kesatuan Eropah (EU) bertambah buruk apabila mereka saling mengusir para diplomat sebagai langkah tindak balas berhubung kes Skripal.

Terbaharu, Rusia mengusir 59 diplomat dari 23 negara selepas kesemua negara itu mengusir diplomat Rusia awal minggu lalu dan sehingga kini, Rusia telah mengusir diplomat dari Britain, Ukraine, Kanada, Poland, Jerman, Li­thuania, Republik Czech, Moldova, Itali, Belanda, Sepanyol serta Denmark.

Moscow juga telah mengarahkan Bri­tain supaya memanggil pulang lebih 50 diplomatnya yang masih berada di Rusia.

Dalam pada itu, ada beberapa pendapat menyatakan bahawa tindakan Bri­tain yang dilihat bersungguh-sungguh menuduh Rusia melakukan serangan agen saraf itu adalah bertujuan me­ngalihkan perhatian dunia terhadap masalah dalaman berkaitan Brexit.

Hal ini kerana walaupun rakyat Bri­tain mengundi dalam referendum untuk keluar daripada EU, tetapi kegagalan Perdana Menterinya, Theresa May mendapatkan sokongan rang undang-undang bagi tujuan itu menunjukkan bahawa proses Brexit adalah suatu yang sukar dan penuh cabaran.

Rang undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan Konservatif pimpinan May sebelum ini gagal apabila sebahagian ahli Parlimen dari partinya mengundi untuk menolak dan keadaan tersebut menunjukkan pentadbiran May tidak bebas membuat sebarang keputusan bagi memudahkan proses Brexit.

Sementara itu, di sebalik semua perkara yang berlaku, timbul persoalan mengapa Rusia sering dijadikan sasaran oleh pihak Barat berhubung pelbagai insiden dan kegiatan jenayah yang berlaku di seluruh dunia? Adakah perkara itu berpunca daripada sikap paranoid Barat yang enggan mengakui kesalahan sendiri dan lebih selesa menunding jari ke pihak lain bagi menutup kelemahan yang ada?

Walau apa pun, dunia dilihat semakin tertekan apabila semakin ba­nyak perang dingin antara kuasa besar berlaku hari ini dan masih belum ada kesudahannya.