NEW YORK 31 Ogos - Rusia menyekat penyiaran laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pelaksanaan sekatan terhadap Korea Utara kerana tidak bersetuju dengan beberapa penemuan yang diperoleh.
Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan elemen dalam laporan berkenaan dan cara pengendaliannya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang dihadiri oleh 15 anggota namun laporan berkenaan telah dilihat oleh pertubuhan media termasuk AFP sebelum disiarkan secara rasmi.
Seorang sumber diplomatik yang enggan dikenali berkata, bantahan Rusia adalah khusus kepada sebahagian laporan berkenaan yang mendakwa import minyak Korea Utara pada 2018 melebihi had yang ditetapkan semasa sekatan 2017.
Pada Julai lalu Amerika Syarikat (AS) gagal menuntut penamatan semua eksport minyak dengan menggunakan gambar satelit dan laporan kumpulan pakar mendakwa berlaku pemindahan haram dari kapal ke kapal, sekali gus menunjukkan Pyongyang melanggar sekatan.
Salinan laporan setebal 62 muka surat itu yang diperoleh AFP pada awal bulan ini menyenaraikan pelanggaran terhadap pengharaman eksport arang batu, besi, makanan laut dan produk lain yang menjana pendapatan berjuta dolar untuk rejim pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Laporan itu juga menyebut, Pyongyang ‘masih belum menghentikan program peluru berpandu dan nuklear serta masih terus menentang resolusi UNSC melalui pemindahan produk petroleum secara besar-besaran dari kapal ke kapal selain memindahkan arang batu melalui jalan laut pada tahun ini.
Semasa sidang kemuncak bersejarah dengan Presiden AS, Donald Trump, Jong-un telah menandatangani komitmen yang tidak pasti tentang ‘pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea’ dengan harapan memperoleh kelonggaran sekatan PBB dan AS.
Walau bagaimanapun Trump berulang kali memberi amaran kepada Pyongyang bahawa sekatan itu perlu dikekalkan malah perlu diketatkan selagi tiada langkah positif untuk menamatkan program peluru berpandu balistik dan nuklear. – AFP