Perkara itu didedahkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (Sipri) dengan Rusia sudah membelanjakan sekitar AS$69.2 bilion (RM304 bilion) bagi tujuan tersebut.

Pada masa yang sama, angka itu juga menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun sebe­lumnya.

Kumpulan pemikir itu memberitahu, perbelanjaan berlebihan itu akan menyebabkan beban berat ke atas ekonomi pada masa akan datang ekoran harga minyak serta gas yang mulai menurun selain daripada sekatan ekonomi yang dikenakan sejak 2014.

Penyelidik Sipri, Nan Tian berkata, Rusia merampas ke­dudukan Arab Saudi yang kini jatuh ke tangga keempat dalam urusan perbelanjaan ketenteraan.

“Walaupun terdapat penglibatan berterusan dalam kon­flik serantau, perbelanjaan Arab Saudi berkurangan sebanyak 30 peratus kepada AS$63.7 bilion (RM277.1 bilion),” katanya.

Amerika Syarikat (AS) terus menjadi pembelanja terbesar dengan peningkatan sebanyak 1.7 peratus diikuti China yang me­ningkat kepada 5.4 peratus.

Perbelanjaan ketenteraan ke­seluruhan di Eropah Tengah me­lonjak kepada 2.4 peratus pada tahun lalu.

“Pertumbuhan dalam per­belan­jaan oleh banyak negara di Eropah Tengah sebahagiannya disebabkan oleh persepsi Rusia yang memberi gambaran ancaman lebih besar,” kata seorang lagi penyelidik Sipri, Siemon Wezeman. – AFP