Kenderaan tersebut dilaporkan mampu berlepas serta mendarat secara menegak dan bakal dilancarkan dalam tempoh lima tahun lagi.

Gergasi aeroangkasa London berpusat di Derby di tengah England itu mendedahkan tentang rancangan tersebut buat pertama kali dalam acara Farnborough Airshow semalam ketika banyak syarikat lain berlumba-lumba dalam segmen pasaran kende­raan tersebut.

Menurut Rolls Royce, pihak­nya berharap untuk mengeluarkan versi prototaip kenderaan elektrik berlepas dan mendarat menegak (EVTOL) dalam tempoh 18 bulan akan datang yang dijang­ka diterbangkan seawal 2020.

Pesawat Rolls-Royce EVTOL mempunyai empat atau lima tempat duduk dengan jarak penerbangan kira-kira 805 kilometer dan kelajuan tertinggi 321 kilometer sejam.

“Dalam pasaran kenderaan, anda akan melihat sesuatu seperti ini terbang dalam tempoh tiga hingga lima tahun, dan kami akan membuat demonstrasi sistem itu dalam masa dua tahun.

“Jadi pada penghujung tahun depan, kami pastinya sudah bersedia,” kata ketua pasukan elektrik Rolls-Royce, Rob Watson.

Kenderaan hibrid yang dianggarkan menelan kos jutaan pound untuk dibangunkan itu akan menggunakan enjin turbin gas tradisional dengan sistem elektrik yang dipasang di sekeli­lingnya.

Rolls-Royce juga dilaporkan sedang meneliti produk yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga elektrik tetapi rancangan tersebut tidak semaju tawaran mengeluarkan EVTOL.

“Terdapat pasaran baharu muncul untuk pesawat elektrik tetapi kami percaya bahawa anda memerlukan tahap keperluan yang masih tidak mampu disediakan oleh semua sistem elektrik yang ditawarkan ketika ini,” kata Watson. – AFP