Dalam resolusi tersebut, pemerintah Myanmar digesa menggerakkan usaha yang telah dipersetujui seperti dinyatakan dalam memorandum yang ditandatangani antara kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi dengan agensi pembangunan pelarian badan dunia itu.

Draf resolusi itu juga antara lain memberi tempoh kepada Myanmar menjalankan tanggungjawab dan menerima kembali lebih 700,000 pelarian Ro­hingya dari Bangladesh.

Kesemua 15 negara yang menjadi anggota UNSC me­ngeluarkan amaran akan me­ngambil tindakan lanjut, termasuk sekatan terhadap Myan­mar seki­ranya negara tersebut gagal menunjukkan sebarang usaha untuk menghentikan kekejaman terhadap Rohingya.

Draf tersebut mula diedarkan kepada negara anggota UNSC pada penghujung bulan lalu dan telah dibincangkan dalam kalangan diplomat.

Namun, tiada maklumat di­nyatakan tentang bila tarikh pengundian akan dibuat.

Sesebuah resolusi akan diluluskan apabila sekurang-kurangnya sembilan undi memihak selain tidak memerlukan kuasa veto Rusia, China, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis.

Walau bagaimanapun, China dan Rusia setakat ini memboikot sebarang perbincangan berkaitan resolusi yang dirangka Britain itu.

Sejak Ogos tahun lalu, ribuan pelarian Rohingya meninggalkan Rakhine apabila pihak ketenteraan Myanmar melakukan keganasan dan mengancam ke­selamatan etnik tersebut.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu disifatkan AS dan Britain sebagai satu bentuk jenayah penghapusan etnik.

Pihak berkuasa Myanmar bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. – REUTERS