Demikian lapor seorang saksi ketika dakwaan bahawa anggota tentera dan separa tentera Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai atau pembunuhan kaum terhadap minoriti Islam berkenaan di barat wilayah ini.

Agensi-agensi bantuan pula me­­-
laporkan kira-kira 73,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak tercetusnya keganasan tersebut pada minggu lalu.

Hari ini, beratus-ratus lagi pe­larian Rohingya menyelamatkan diri dengan berjalan kaki me­lalui sawah padi dari Sungai Naf yang memisahkan Myanmar de­ngan Bangladesh.

Salah seorang pelarian, Abdul Rahman, 41, berkata, dia berjaya menyelamatkan diri daripada se­rangan yang berlaku selama lima jam di perkampungan Chut Pyin.

Dia memberitahu agensi kebajikan, Fortify Rights, sekumpulan etnik lelaki Rohingya telah ditahan dalam sebuah pondok buluh sebelum dibakar.

“Abang saya dibunuh oleh tentera Myanmar yang membakar­nya bersama-sama lelaki lain,” katanya.

Abdul Rahman turut memberi­tahu, kepala dua anak saudaranya, masing-masing berusia sembilan dan enam tahun, telah dipenggal manakala kakak iparnya ditembak.

“Kami turut menemukan mayat ahli keluarga lain di kawasan padang. Tubuh mereka mempunyai kesan tembakan dan luka,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Sultan Ahmed, 27, berkata, beberapa etnik Rohingya turut dipenggal oleh penduduk yang bersenjata dari kampung berhampiran manakala dia dan keluarganya menyembunyikan diri dalam rumah ketika kejadian itu berlaku.

Beberapa lagi penduduk yang terselamat turut memberitahu me­lihat beberapa orang telah dipenggal atau leher mereka dikelar.

Ketua Fortify Rights, Matthew Smith menegaskan, keadaan di wilayah berkenaan sangat mendesak dengan pihak berkuasa Myan­mar gagal untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa orang awam, oleh itu tekanan antarabangsa amat diperlukan.

Imej-imej satelit yang disiarkan oleh Human Rights Watch (HRW) menunjukkan 700 rumah terbakar di sebuah lagi perkampungan Rohingya di Chein Khar Li.

Semalam, Setiausaha Luar Bri­tain, Boris Johnson menggesa keganasan itu dihentikan dengan menyatakan layanan Myanmar terhadap etnik Rohingya telah mencemar reputasi negara berkenaan.

Beliau turut menggesa Kaunselor Myanmar, Aung Sang Suu Kyi untuk bertindak segera menghentikan keganasan tersebut.

Arab Saudi melalui wakilnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengutuk sera­ngan terhadap Rohingya itu dan akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian penderitaan etnik tersebut.

Dalam pada itu, India turut bimbang dengan keadaan pergolakan tersebut dan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Myanmar bagi membantu menanga­ninya menjelang lawatan Perdana Menteri, Narendra Modi ke Myanmar ming­gu depan.

Sementara itu, pemimpin kanan kumpulan Al-Qaeda di Yemen, Khaled Batarfi menggesa serangan dilancarkan terhadap pihak berkuasa Myanmar sebagai balasan terhadap kekejaman yang dilakukan.

Melalui rakaman video yang disiarkan menerusi al-Malahem, Khaled menyeru umat Islam di Bangladesh, India, Indonesia dan Malaysia membantu saudara mereka itu menentang ‘musuh-musuh Allah’. – AGENSI