Los Angeles Times melaporkan, pertubuhan minoriti itu terdiri daripada kumpulan pe­nganut Buddha dan etnik terbesar Myanmar iaitu Burman yang merangkumi beberapa persatuan wanita, akademik dan kumpulan sokongan.

Selain menggesa penubuhan siasatan bebas, mereka juga mahu kerajaan Myanmar menangani isu itu dengan segera selain memastikan tiada ma­salah lain timbul ekoran isu terbabit.

Menurut gabungan pertubuhan minoriti itu, pertemuan tersebut terpaksa diatur kerana Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi enggan menjawab sebarang panggilan antarabangsa berhubung krisis Rohingya ke­rana bimbang ditentang oleh ‘penduduk tempatan.’

Gesaan itu juga dianggap bermakna kerana diadakan sehari sebelum wakil negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC di Kuala Lumpur untuk membincangkan isu sama hari ini.

Kesemua pertubuhan minoriti itu turut menandatangani kenyataan berhubung pergolakan di Rakhine yang melibatkan pencerobohan, penderaan serta pembunuhan tentera Myanmar terhadap penduduk Rohingya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Fortify Rights iaitu sebuah kumpulan hak asasi manusia yang berpusat di Asia Tenggara, Matthew Smith memberitahu, kenyataan yang dibuat gabu­ngan pertubuhan minoriti itu sebenarnya penting untuk seluruh penduduk Myanmar.

“Inilah masanya untuk kerajaan Myanmar menyokong penubuhan sebuah siasatan bebas dan telus di negara mereka,” kata Smith.