Keadaan ini menjadi satu perubahan dramatik sejak bulan Oktober lalu apabila penduduk Islam yang sebelum ini menjadi mangsa penyeksaan sehingga terpaksa melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

Pada Jumaat lalu, pejuang Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) yang didakwa sebagai militan oleh kerajaan Myanmar, menyerang kira-kira 30 buah pondok polis sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang anggota keselamatan dengan hanya bersenjatakan pisau, senjata api dan bom buatan sendiri.

Seorang pelarian wanita Rohingya yang berjaya memasuki Bangladesh, mengakui bahawa suaminya menyertai gerakan untuk menentang tentera Myanmar.

Ayesha Begum, 25, yang sarat mengandung berkata, dia tidak menyesal jika suaminya tidak dapat melihat kelahiran anak keenam mereka kerana berjuang bersama-sama ARSA di Rakhine, Myanmar.

“Suami saya membawa kami sekeluarga menyeberangi Su­ngai Naf dan mengucapkan selamat tinggal kepada kami.

“Kata suami, jika saya tidak melihatnya lagi di sebuah negara Rakhine yang merdeka atau tempat lain, kami semua akan berjumpa semula di syurga,” kata Ayesha sambil mengalirkan air matanya.

Sementara itu, penduduk Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berdepan risiko menghadapi penyakit dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu kerajaan negara ini supaya tidak mengusir mereka semula ke Myanmar.

Bangladesh yang kini me­nempatkan lebih 400,000 etnik Rohi­ngya yang melarikan diri dari Rakhine sejak tahun 1990, telah mengumumkan bahawa negara ini tidak akan lagi menerima kemasukan penduduk Mynmar.

Menurut pengawal sempadan Bangladesh, mereka menghantar pulang sebanyak 550 orang pela­rian Rohingya sejak semalam menerusi Sungai Naf yang memisahkan kedua-dua negara itu.

Sekurang-kurangnya 5,000 orang Rohingya berjaya mema­suki Bangladesh sejak beberapa hari lalu terutamanya pada waktu malam melalui jalan darat di Kampung Gumdhum manakala 6,000 pelarian masih terperangkap di sempadan.

Pekerja bantuan berkata, kebanyakan pelarian yang sakit selepas berjaya menyusup masuk sempadan seperti wanita dan kanak-kanak enggan mendapatkan rawatan kerana bimbang akan ditangkap dan dihantar pulang.

Ini menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang telah meninggal dunia.

Sementara itu, pegawai ter­tinggi kementerian luar Bangladesh dalam pertemuan dengan timbalan diplomat Myan­mar di Dhaka me­nyatakan cadangan untuk menyertai operasi ketenteraan Myanmar bagi meme­rangi ARSA di negeri Rakhine ketika PBB bimbang tentang laporan kematian melibatkan orang awam dalam keganasan sejak kebelakangan ini.– AFP/REUTERS