Mahkamah berkata, pihaknya akan mendengar permohonan itu esok selepas peguam bela, M.L. Sharma yang mewakili defendan, Mukesh Singh menyatakan sukar untuk anak guamnya menerima perbicaraan adil di bandar di mana kejadian rogol pada 16 Disember lalu itu berlaku.

Sharma dalam petisyennya menyatakan kemarahan berhubung kematian pelajar berumur 23 tahun itu dirasai oleh setiap keluarga di New Delhi dan anak guamnya tidak boleh mendapat keadilan di sini.

Perbicaraan ke atas lima suspek kes tersebut akan bermula hari ini di sebuah mahkamah khas yang ditubuhkan untuk mempercepatkan perbicaraan itu.

Kelima-lima lelaki tersebut menghadapi tuduhan membunuh, merogol, merompak, menculik dan beberapa dakwaan lain.

Pendakwa raya dijangka menggesa hukuman mati dikenakan ke atas defendan.

Suspek keenam yang dikatakan berumur 17 tahun akan dibicarakan di mahkamah juvenil.

Dalam kejadian pada 16 Disember lalu itu, mangsa, Jyoti Singh Pandey yang merupakan pelajar perubatan dirogol dan dipukul oleh enam lelaki, selepas dia bersama teman lelakinya menaiki sebuah bas.

Pelajar itu mengalami kecederaan teruk, manakala teman lelakinya gagal menolongnya kerana cedera dan patah kaki akibat dipukul suspek. - AFP