Kelima-lima suspek berumur 19 dan 35 tahun itu buat pertama kalinya hadir di Mahkamah Daerah Saket untuk mendengar pertuduhan ke atas mereka.

Majistret Namrita Aggarwal berkata, mahkamah menjadi terlalu sesak.

''Sukar untuk mahkamah ini menjalankan prosiding terhadap kes ini,'' katanya.

Sekumpulan peguam dari Kompleks Mahkamah Saket mengutuk peguam yang tampil membela tertuduh, keadaan yang melambatkan prosiding di mahkamah tersebut sebelum tengah hari.

Kira-kira 150 orang termasuk berpuluh-puluh peguam yang tidak mempunyai kaitan dengan kes itu serta wartawan tempatan dan asing, bersesak-sesak dalam bilik mahkamah kecil yang hanya mampu menempatkan 30 kerusi.

Kelima-lima suspek itu menghadapi tuduhan membunuh, menculik dan merogol dalam kes yang menggemparkan India.

Terdahulu, kelima-lima suspek tiba di mahkamah itu selepas dua daripada mereka menawarkan menjadi saksi sebagai pertukaran kepada hukuman lebih ringan.

Gambar Reuters merakamkan lelaki-lelaki tersebut keluar dari van polis berwarna biru yang membawa mereka dari penjara Tihar.

Kelima-lima lelaki itu kemudian dibawa ke bilik tahanan, sementara menunggu majistret mendengar kes mereka. - AFP/REUTERS