Mail Online melaporkan, penyelidik China membangunkan prototaip robot yang mendapat inspirasi daripada watak fiksyen francais dalam filem Terminator, T-1000.

Robot kecil dan boleh berubah bentuk boleh digunakan bagi mengakses persekitaran yang mungkin sukar untuk manusia melakukan operasi di zon bencana.

Berdasarkan laporan South China Morning Post, prototaip robot yang dicipta oleh pasukan dari Universiti Sains dan Teknologi China dan Universiti Wollongong, Australia itu dibuat daripada roda plastik kecil, bateri litium dan titisan galium serta logam perak lembut.

Menurut penyelidik, aloi logam cecair sesuai untuk robot lembut kerana konduksi yang tinggi, ketegangan permukaan yang terkawal dan lenturan.

Ini membuktikan robot itu berguna untuk pelbagai aplikasi daripada tentera hingga kepada perubatan.

Jelas penyelidik, robot kecil itu boleh digunakan sebagai contoh untuk membawa ubat melalui badan dan me­nyerang sel-sel tumor secara langsung.

“Pada masa akan datang, kami berharap dapat mengembangkan robot lembut yang menggabungkan logam cecair yang boleh digunakan dalam misi khas seperti mencari dan menyelamat mang­sa gempa.

“Kami juga percaya, aloi logam cecair dapat membantu dalam pembangunan robot yang dapat menyesuaikan diri sendiri serta dapat mengubah bentuknya,” kata penyelidik, Tang Shiyang.