Menurut Fukoku Mutual Life Insurance, penggunaan sistem AI itu adalah 30 peratus lebih produktif berbanding manusia selain menjimatkan kos syarikat membayar gaji pekerja.

Lapor portal BBC, syarikat ber­kenaan dijangka jimat sebanyak 140 juta yen (RM5.4 juta) setahun dalam pembayaran gaji kepada pekerja selepas sistem bernilai 23.26 bilion yen itu digunakan (RM895 juta) sepenuhnya akhir bulan ini.

Penyelengaraan sistem itu pula dijangka menelan belanja 15 juta yen (RM577,444) setahun.

Akhbar Jepun, The Mainichi me­laporkan, sistem AI yang memiliki keupayaan teknologi kognitif menyerupai manusia itu disediakan syarikat IBM Japan Ltd’s Watson (IBM).

“Sebagai contoh, sistem AI ini mampu menganalisis data pelanggan dengan membaca rekod perubatan, pembedahan dan tempoh rawatan di hospital bagi menentukan jumlah tuntutan,” jelas IBM.

Tambah laporan akhbar tersebut, tiga lagi syarikat insurans juga sedang menimbang untuk mengguna pakai sistem AI yang boleh mencadangkan pelan perlin­dungan terbaik untuk pelanggan.

Kajian oleh Forum Ekonomi Dunia tahun lalu menyatakan, teknologi robot dan AI yang semakin meluas akan menyebabkan 5.1 juta peluang kerja hilang dalam tempoh lima tahun akan datang di 15 buah negara maju.

Jumlah tersebut bersamaan dengan 65 peratus tenaga kerja di seluruh dunia.