Bandar itu merupakan yang pertama menggunakan robot keluaran firma Starship Technologies selain San Francisco yang akan memulakan penggunaannya lewat tahun ini.

Penduduk bandar Buckinghamshire akan menerima barang yang dihantar oleh robot terbabit ke pintu rumah masing-masing dengan bayaran yuran 7.99 pound (RM43) sebulan.

Perkhidmatan itu juga boleh diperoleh menerusi aplikasi Starship Delivaries yang boleh dimuat turun menerusi iOS dan Android, lapor portal Daily Mail.

Pandu uji robot berkenaan telah dilakukan di beberapa jalan raya di London untuk menghantar makanan dan di beberapa syarikat di California yang sering menggunakan perkhidmatan penghantaran barang.

Para pelanggan yang menggunakan perkhidmatan itu akan diberi ‘alamat peribadi’ untuk menggantikan alamat rumah mereka.

Bungkusan akan dihantar ke alamat tersebut menggunakan cara biasa kemudian diambil dan dihantar ke alamat rumah pelanggan mengikut tempoh masa sesuai yang boleh diperoleh melalui hub Starship.

Milton Keynes dipilih sebagai kawasan ujian teknologi itu kerana mempunyai lorong yang luas dan susun atur moden yang mesra robot.

Robot berukuran 55 sentime­ter (sm) lebar dan 70 sm panjang itu beroperasi menggunakan radar, GPS dan kamera 360 darjah.

Menggunakan enam roda dan mampu bergerak sepantas 6.4 kilometer sejam, robot itu boleh membawa barang seberat 10 kilogram.