Dana tersebut adalah sebahagian daripada rancangan Presiden Benigno Aquino berjumlah 3 tri­lion peso (RM25 bilion) yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2016 Filipina, pada tahun terakhir pentadbirannya, bagi memodenkan angkatan tentera Filipina.

Belanjawan itu merupakan 15.1 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan semasa sebanyak 2.606 trilion peso (RM17 bilion), menurut Setiausaha Pengurusan dan Belanjawan, Florencio Abad.

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus daripada cadangan per­belanjaan kerajaan itu akan digunakan bagi anggaran perbelanjaan untuk projek atau program yang sedang dilaksanakan.

“Pada 2016, kerajaan mencadangkan kepada Kongres sebanyak 25 bilion peso (RM2.1 bilion) untuk program permodenan (tentera),” kata Abad kepada Reuters.

“Ini merupakan perbelanjawan paling tinggi pernah digunakan untuk memodenkan tentera (Filipina) dalam tempoh dua dekad,” katanya.

Abad berkata, cadangan belanjawan kerajaan itu, termasuk pelan perbelanjaan pertahanan akan dibentangkan kepada Kongres pada minggu depan selepas Presiden menyampaikan ucapan dasar, yang terakhirnya pada 27 Julai ini.

Seorang jeneral kanan tentera, yang enggan dikenali berkata, dana itu akan digunakan untuk membeli dua buah kapal perang, dua pesawat peronda jarak jauh dua enjin dan tiga radar pengawasan udara.

Wang selebihnya akan digunakan untuk bayaran tahunan bagi pembelian pesawat-pesawat pejuang 12 FA50 dari Korea Selatan. Dua pesawat tersebut dijadual sampai pada Disember ini. – REUTERS