RIHANNA menyampaikan lagu Wild Thoughts dalam majlis Grammy Awards Ke-60 di Madison Square Garden, New York, baru-baru ini. AP

Penyanyi itu tiba di Dakar, Senegal untuk me­ngambil bahagian dalam persidangan antarabangsa Perkongsian Pendidikan Glo­bal yang akan turut dihadiri Presiden Senegal, Macky Sall dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Rihanna yang merupa­kan individu keempat memiliki pengikut pa­ling ramai di Twitter iaitu sebanyak 86 juta orang, menggunakan media sosial un­tuk men­­desak Macron, Per­dana Menteri Britain, Theresa May dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull memastikan pembiayaan khusus terhadap program pendidikan itu.

Melalui mesej kepada Macron, Rihanna yang pernah bertemu pemimpin Pe­rancis itu di Paris pada bulan Julai lalu, berterima kasih kepadanya yang menge­tuai persidangan berkenaan namun mendesak beliau menetapkan sumbangan 250 juta euro (RM1.3 bilion) untuk tujuan tersebut.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) me­laporkan, kira-kira 264 juta kanak-kanak dan remaja di dunia tidak menerima pendidikan kerana hidup dalam kemiskinan, kon­flik selain halangan sosial termasuk bersikap berat se­belah terhadap kanak-kanak perempuan.

Persidangan di Dakar itu akan menghimpunkan kerajaan dunia dan syarikat swasta bertujuan mengumpul AS$3.1 bi­lion (RM12 bilion) bagi membantu pendidikan seramai 870 juta kanak-kanak bagi tem­poh tiga tahun.

Pada persidangan itu, negara anggota akan diminta untuk memperuntukkan sebanyak 20 peratus perbelanjaan awam ke­pada pendidikan.

Menurut wakil Rihanna, penyanyi tersebut yang merupakan duta bagi Perkongsian Pendidikan Global akan bertemu pegawai kerajaan termasuk golongan pendidik dan pelajar pa­da persidangan tersebut.

Penyanyi berkenaan telah pun menubuhkan Yayasan Lionel Clara yang turut me­nyalurkan biasiswa kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di universiti di Ame­rika Syarikat (AS). – AFP