Lapor BBC, susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan awam apabila debu bergerak sejauh 500 kilometer (km) telah sampai ke bandar.

Banyak kawasan di sekitar New South Wales mencatatkan tahap penglihatan kurang baik.

Pihak berkuasa berkata ribut itu didorong oleh angin kencang yang membawa tanah kering.

Masalahnya diburukkan lagi dengan kemarau yang telah menjejaskan seluruh negeri NSW sejak Ogos, menurut Biro Meteorologi Australia.

Sementara itu, pegawai kesihatan menggesa penduduk tempatan supaya kekal berada di dalam rumah, terutamanya kanak-kanak, orang tua dan mereka yang mengalami masalah pernafasan.

Seorang penduduk di Broken Hill, sebuah bandar raya 1,100 km di barat Sydney, berkata debu itu telah berlegar-legar 
selama berjam-jam , semalam.

“Ketika berjalan di luar dan debu berada di mata anda dan itu menyakitkan.

“Angin juga sangat kuat sehingga anda terpaksa memegang pintu kereta atau ia akan menghempas ke wajah anda,” kata Matt Whitelum kepada BBC.

Dalam pada itu, ramalan cuaca berkata, masih belum jelas bagaimana ribut berdebu itu akan menjejaskan Sydney.

Bagaimanapun, persamaannya telah dibuat dengan kejadian ribut berdebu yang berlaku di bandar itu pada 2009.

Peristiwa itu menyebabkan beratus-ratus orang yang mengalami kesukaran bernafas, dan memaksa pembatalan penerbangan.