Operator saluran paip, Refining NZ dalam satu kenyataan berkata, proses baik pulih akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sekali gus meningkatkan kebimbangan gangguan lebih besar dalam operasi penerbangan.

Air New Zealand berkata, lebih 2,000 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan pada hari ini kerana usaha untuk me­mi­nimumkan penggunaan bahan api pesawat.

Syarikat itu berkata, masalah kebocoran saluran minyak itu menyebabkan bekalan bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland berkurangan sebanyak 30 peratus daripada kapasiti normal dan beberapa penerba­ngan jarak jauh perlu berhenti di Brisbane dan Fiji untuk mengisi mi­nyak tambahan.

“Penerbangan adalah industri pengangkutan kritikal dan sumber kelangsungan utama untuk sektor pelancongan. Kami sa­ngat kecewa dengan kegagalan infrastruktur ini,” kata syarikat penerbangan itu.

Menurut Refining NZ, pihak­nya percaya saluran paip dari kilang penapisan ke lapangan terbang itu dirosakkan secara tidak sengaja oleh penggali dan pasukan seramai 30 kakitangan telah dikerah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Namun bahaya yang timbul oleh bahan api yang tumpah dilaporkan telah melambatkan usaha baik pulih.

“Kita perlu memastikan saluran paip berkenaan benar-benar selamat dan berfungsi dengan baik sebelum kita boleh memulakan kimpalan di bahagian paip baharu itu,” jelas operator ber­kenaan.

Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Paula Bennett berkata, pihaknya kecewa apabila infrastruktur penting itu telah dibiarkan terdedah kepada bahaya selain menegaskan kerajaan tidak harus dipersalahkan dalam insiden itu kerana pengurusan saluran paip berkenaan dikendalikan syarikat swasta.

“Kita menjangkakan syarikat swasta yang mengendalikannya mempunyai pelan luar jangka yang lebih baik. Masalah ini adalah kejadian yang sangat jarang berlaku,” katanya kepada Radio New Zealand. – AFP