Biro Kaji Cuaca Australia berkata, puting beliung Debbie diramalkan semakin kuat dan menjadi ribut kategori empat dengan kelajuan angin sehingga 300 ki­lometer sejam sebelum tiba di Queensland awal pagi esok.

Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk memberi amaran kepada penduduk tempatan putting beliung Debbie merupakan adalah ribut paling ganas melanda negara itu sejak puting beliung Yasi pada tahun 2011.

“Ini merupakan yang terburuk kita jangkakan, sebelum ini Yasi merupakan antara pengalaman kita paling buruk apabila memusnahkan ribuan rumah, menghancurkan tanaman dan meranapkan beberapa buah pusat peranginan popular.

“Dengan kekuatan angin 300 kilometer sejam, ia sangat membinasakan dan berbahaya. Kami te­lah mengarahkan penduduk yang berpotensi terjejas dengan puting beliung ini supaya berpindah ke tempat lebih selamat,” katanya.

Pada tahun 2011, ribut puting beliung terburuk pernah me­landa Australia memusnahkan beberapa buah bandar di sepanjang pantai timur laut Australia selepas membadai di sepanjang kawasan perairan pantai dan merentasi beberapa bandar di negara ini.

Ribut Yasi merentasi kawasan pantai sekitar tengah malam dalam kekuatan maksimum ka­tegori lima, sebelum bertukar semakin lemah apabila memasuki kawasan darat.

Sementara itu, jurucakap pelabuhan, Fiona Cunningham berkata, terminal arang batu Abbot dan beberapa buah pelabuhan di Mackay dan Hay Point ditutup sehingga diberitahu kelak.

Arahan pemindahan sudah dikeluarkan di beberapa kawasan rendah berhampiran Townsville sementara pihak berkuasa menyarankan beribu-ribu penduduk di selatan supaya turut berpindah. – REUTERS