JAKARTA 30 Sept. - Angka kematian akibat dilanda gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 832 orang.
Menurut Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, jumlah berkenaan berkemungkinan boleh meningkat sehingga ribuan orang.
Dalam pada itu, lebih 200 gempa susulan berterusan berlaku di Sulawesi Tengah selepas gempa berskala 7.4 Richter menggoncang Kota Palu dan Donggala pada Jumaat lalu.
Menurut data Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, sebanyak 209 gempa susulan berskala 2.9 hingga 6.2 Richter dicatatkan berlaku sehingga 12 tengah hari ini.
Keadaan itu menyukarkan lagi kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan bangunan dan rumah.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyatakan beratus mangsa turut cedera manakala ribuan rumah dan bangunan runtuh akibat gempa serta tsunami itu.
Gempa bumi berukuran 7.4 Richter menggoncang Sulawesi Tengah pada pukul 5.02 petang Jumaat lalu yang turut menyebabkan berlakunya tsunami setinggi lebih tiga meter di pantai Palu dan Donggala.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata jumlah korban dikhuatiri terus meningkat ketika usaha mencari dan menyelamat mengalami pelbagai kesukaran.
“Pasukan mencari dan menyelamat mengalami pelbagai kesukaran berikutan kekangan akses komunikasi, bekalan elektrik dan akses jalan raya rosak teruk,” katanya dalam satu kenyataan.
Sutopo berkata, usaha pendataan mangsa yang terkorban juga tidak dapat dikumpulkan dengan cepat akibat kekangan telekomunikasi dan akses jalan ke kawasan yang teruk akibat gempa dan tsunami itu.
Beliau berkata, lebih 30,000 penduduk Sulawesi Tengah kini berada di pusat pemindahan sementara, selain menyelamatkan diri ke kawasan tanah tinggi.
“Ramai penduduk berada di kawasan bukit berikutan trauma dengan gempa dan tsunami.
“Mereka tidur di jalan raya. Mereka amat memerlukan bantuan bekalan air bersih, makanan, selimut dan ubat,” katanya.
Beliau berkata, fokus pasukan penyelamat kini di Hotel Roa Roa setinggi lapan tingkat yang runtuh, pantai Palu, pantai Talise dan Perumahan Balaroa.
Sementara itu, menurut laporan agensi berita Antara, lapangan terbang Mutiara SIS Al Jufri Palu, Sulawesi Tengah mula dibuka hari ini, yang lebih menjurus kepada penerbangan mencari dan menyelamat, penerbangan kecemasan dan kemanusiaan.
Pengurus Hubungan Masyarakat AirNav Indonesia, Yohanes Sirait berkata penerbangan di lapangan terbang itu menggunakan sistem manual berikutan mengalami kerosakan teruk akibat gempa.
Berdasarkan video dan foto yang dikongsi dalam media sosial, mayat mangsa yang terkorban bergelimpangan di jalan raya dan di kawasan kediaman Kota Palu dan Donggala, rumah dan bangunan musnah teruk selain jalan raya retak dan jambatan runtuh.
Pemerintah Indonesia kini mengerahkan tentera dan polis bagi menangani operasi mencari dan menyelamat.
Dalam perkembangan berkaitan, dua rakyat Malaysia berada di Sulawesi Tengah dilaporkan selamat ketika ini dan telah dikeluarkan dari kawasan gempa.
Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, seorang daripada warga Malaysia itu, telah dibawa ke lapangan terbang Palu untuk proses penghantaran pulang ke Malaysia, manakala seorang lagi sudah dibawa keluar dari kawasan gempa. – BERNAMA/AFP