Sekurang-kurangnya 11,000 kanak-kanak telah dijual ke Eropah dengan kedua-dua pihak menggunakan dokumen palsu bagi urusan jual beli bayi tersebut.

Malah menurut BBC, sebahagian bayi berkenaan dilahirkan di ‘ladang bayi’ yang diwujudkan khas bagi menjual kanak-kanak ke negara Barat.

Menteri Kesihatan Sri Lanka, Rajitha Senaratne memberitahu sebuah program hal ehwal semasa dari Belanda, Zembla bahawa beliau akan mewujudkan sebuah pangkalan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu kanak-kanak mencari ibu kan­dung mereka yang sebenar.

Kira-kira 4,000 kanak-kanak dipercayai diserahkan kepada keluarga di Belanda manakala selebihnya diagihkan kepada negara lain seperti Sweden, Denmark, Jerman dan United Kingdom.

Seorang anak angkat bernama Rowan van Veelen pada awal tahun ini mendedahkan bahawa beliau pergi ke Sri Lanka untuk mencari ibu yang melahirkannya pada 27 tahun lalu.

Dia merupakan antara peserta dari rangkaian media sosial berpangkalan di Belanda yang cuba mencari ibu kan­dung mereka di Sri Lanka.

Senaratne berkata, anak ang­kat dan ibu mereka mendapat maklumat yang salah mengenai dokumentasi kelahiran sekali gus menjadikan usaha pencarian itu menjadi sukar.

“Kami mahu mewujudkan sebuah bank DNA dengan kesemua anak angkat dari Belanda boleh mencari adik-beradik mereka di sini.

“Kemudian kita akan minta negara-negara lain seperti Sweden, Denmark dan Jerman memberikan DNA mereka pada bank yang sama,” kata Senaratne.

Pembuat filem Belanda, Zembla mula menyiasat dakwaan pemerdagangan bayi selepas Majlis Belanda untuk Pentadbiran Kehakiman Jenayah dan Perlindungan Juvana menasihatkan kerajaan pada November 2016 supaya mempertimbangkan lara­ngan pengambilan anak angkat warga asing kerana ia merupakan amalan tidak beretika di beberapa negara asal mereka.

Penyelidik untuk Zembla, Norbert Reinjens berkata, dia mene­mukan bukti bahawa kesemua dokumen mengenai pengambilan anak angkat dipalsukan termasuk surat beranak, nama kanak-kanak dan identiti ibu bapa sebenar.