Menurut Skerrit dalam laman Facebooknya, angin kencang akibat taufan tersebut menjejaskan semua penduduknya yang berjumlah 72,000.

Beliau turut menyeru agar bantuan diberikan kepada mereka tetapi sokongan helikopter diperlukan supaya pihak berkuasa boleh mengenal pasti kerosakan yang berlaku.

Maria merupakan Taufan Kategori Kelima yang kedua melanda Caribbean bulan ini selepas Irma.

Taufan berkenaan berpusat di 25 kilometer timur-tenggara Dominica dan 70 kilometer dari Martinique di timur Laut Caribbean.

Maria bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan angin maksimum 260 kilometer sejam.

Taufan tersebut dikatakan yang terkuat bakal melanda Puerto Rico dalam tempoh 85 tahun sejak ribut kencang itu yang diletakkan pada kategori 4 membadai wilayah kepulauan Amerika Syarikat pada tahun 1932.

Sementara itu, Gabenor Puerto Rico, Ricardo Rossello menyeru penduduk Puerto Rico supaya bersiap sedia menghadapi ketibaan taufan.

“Ini adalah masa sesuai untuk mendapatkan perlindungan bersama-sama ahli keluarga, kawan atau bergerak ke rumah perlin­dungan tempatan,” ujar Rossello melalui laman Twitter.

Semalam, Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) mengeluarkan amaran ribut tropika kepada Pulau Martinique, Antigua & Barbuda, Saba & St Eustatius dan St. Lucia. – AFP/REUTERS