Selain itu, hampir 50 yang lain mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Menurut saksi, lori yang penuh dengan muatan keluli itu dilihat berada di kawasan kaki lima Breitscheidplatz Square pada pukul 7 malam semalam, sebelum me­rempuh gerai dan pengunjung di kawasan membeli-belah tersebut yang terletak berhampiran Gereja Memorial Kaiser Wilhelm.

Polis mengesahkan kenderaan yang dipandu dengan kelajuan lebih 64 kilometer sejam itu telah dicuri daripada pemandu asalnya, seorang lelaki warga Poland yang ditemukan mati di bahagian kabin lori berkenaan dengan kesan tembakan.

“Sebuah lori berwarna hitam yang besar secara tiba-tiba memasuki kawasan kedai dan me­rempuh begitu ramai orang. Kemudian, saya melihat darah dan mayat mangsa bergelimpangan,” kata seorang saksi, Trisha O’Neill.

Menurut sumber keselamatan, suspek yang dipercayai tiba di Jerman melalui laluan penghijrahan Balkan itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan pihak berkuasa di sebuah zoo berhampiran tempat kejadian.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Neved B, dikatakan telah menggunakan beberapa nama samaran, berdaftar dengan pihak berkuasa pada Februari lalu dan tinggal di tempat perlindungan pencari suaka di Berlin.

Walau bagaimanapun, menurut polis, pihaknya telah menahan suspek yang salah dan masih memburu individu yang melakukan serangan itu.