Anggota pasukan bola sepak Wild Boars itu menghadiri sidang media yang diadakan di Chiang Rai dan disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Kesemua remaja dan jurulatih terbabit tampil dengan memakai jersi bola sepak pasukan mereka sambil tersenyum dan kelihatan tenang ketika menjawab pertanyaan yang diajukan.

Dalam sidang akhbar yang dikawal dengan ketat, dengan pakar-pakar memberikan amaran kemungkinan masalah jangka panjang yang mungkin dialami mereka selepas lebih dua minggu terperangkap dalam ruang yang sempit dan banjir di gua Tham Luang di utara Thailand.

Jabatan Perhubungan Ma­sya­rakat di Chiang Rai telah me­minta agensi media menghantar soalan lebih awal dan diperiksa terlebih dahulu oleh pakar psi­kiatri sebelum diajukan kepada remaja berkenaan.

Pada taklimat itu, seorang daripada 12 remaja tersebut, Adul Sam-on, 14, menceritakan semula detik-detik ketika mereka ditemui oleh penyelam Britain dan menyifatkannya sebagai ‘keajaib­an’.

“Kami sedang mencangkung dan menggali di salah satu lubang beberapa kilometer dari kompleks gua apabila mende­ngar suara seseorang.

“Ia adalah saat yang amat menakjubkan. Mereka bukan warga Thailand jadi saya terpaksa berfikir banyak ketika itu sebelum saya dapat menjawab soalan me­reka,” katanya.

Seorang lagi remaja turut mengimbas kembali bagaimana mereka mula menyedari mereka terperangkap dan berusaha menggali lubang di dalam gua untuk keluar.

Mereka juga mengakui hanya bertahan dengan minum air hujan yang menitik dari stalaktit di dalam gua tersebut tanpa sebarang makanan selama hampir 10 hari sebelum ditemukan pasukan penyelamat.

“Kami hanya minum air. Saya tidak mempunyai kekuatan jadi saya cuba untuk tidak berfikir tentang makanan supaya tidak merasa terlalu lapar,” kata ahli termuda pasukan itu, Titan,11.

Gabenor wilayah Chiang Rai, Prachon Pratsukan berkata, wawancara rasmi itu hanya diadakan sekali sahaja dan semua remaja yang berat badan kini meningkat hampir tiga kilogram, tidak lagi dibenarkan bertemu media selepas ini bagi melindungi privasi dan kesihatan mental mereka.