Mail Online melaporkan, Linds­ey Coubray, 19, menghidap penyakit alahan air yang dikenali sebagai aquagenic urticaria yang menyukarkan dia untuk berenang, mandi malah keluar dari rumah ketika hari hujan.

Coubray akan bersin banyak kali dan sukar bernafas jika ter­kena air, menyebabkan remaja tersebut terpaksa mengambil ubat alahan antihistamin se­tiap kali dia mandi.

Remaja itu merupakan seorang daripada 50 penghidap penyakit tersebut di seluruh dunia dan turut didapati hanya boleh minum susu ekoran air biasa boleh menyebabkan ulser keluar dalam mulutnya.

Coubray menjelaskan baha­wa dia sedaya upaya untuk membiasakan diri dalam apa jua keadaan setiap hari.

“Setiap kali saya mandi, saya akan bersin dan mengalami gatal-gatal satu badan. Mata saya juga akan merah dan bengkak,” katanya.

Selain itu, keadaan cuaca panas juga menjadi cabaran kepada remaja perempuan tersebut kerana ia boleh menyebabkan badannya berpeluh, sekali gus menimbulkan alahan.

Gadis itu memaklumkan bahawa dia hanya mengetahui tentang penyakitnya sejak dua tahun lalu.

Coubray juga memberitahu dia menghidap sindrom takikar­dia postural (PoTs) yang menyebabkan degupan jantung­nya menjadi laju setiap kali dia berdiri selepas berbaring.

Keadaan itu menyebabkan gadis tersebut sering berasa sa­kit kepala, sakit dada dan mual.

Ironinya, antara kaedah terbaik untuk mengawal PoTs adalah kekal hidrasi namun cara itu sukar untuk Coubray yang alahan pada air.