Agensi berita Wafa yang me­me­tik beberapa sumber yang eng­gan didedahkan sebagai ber­kata, kesemua mangsa cedera selepas rejim Zionis menyerang mereka dekat pintu pagar Bab al-Rahma atau Pintu Pagar Emas di pekarangan masjid ber­kenaan.

PASUKAN KESELAMATAN

REJIM BIADAB

Katanya, polis menyerang jemaah dan menahan sekurang-kurangnya 15 penduduk Palestin ketika pasukan perubatan mendakwa mereka memberikan rawatan kepada sejumlah mang­sa akibat cedera dipukul dan gas pemedih mata.

Tambahnya, majoriti mereka yang ditahan dilaporkan merupakan pelajar sekolah agama dan keadaan kembali tenang selepas anggota polis beredar.

Identiti beberapa penduduk Pa­lestin yang ditahan dikenal pas­ti sebagai Mohammed Abu Shousha, Omar Zaghir, Omar Ouda, Hamza Zagir dan Hisham al-Bashiti.

Terdahulu, agensi berita Ma’an melaporkan rejim bertindak mengunci Bab al-Rahma se­hingga menghalang jemaah daripada memasuki perkarangan al-Aqsa.

Katanya, tindakan rejim itu mencetuskan pertempuran an­tara golongan belia Palestin dan ten­tera Israel, mengakibatkan lima penduduk Palestin ditahan termasuk seorang wanita.

Sementara itu, jurucakap per­tubuhan Islamic Waqf, Firas al-Dibs berkata, polis Israel memasang kunci dan rantai di pintu pagar berkenaan selepas pihak­nya menunaikan solat di kawasan terbabit, minggu lalu.

Bangunan tersebut bagaima­na­pun ditutup oleh pihak ber­kuasa Israel pada 2003 kerana didakwa digunakan untuk aktiviti politik oleh pertubuhan Jawatankuasa Kebudayaan Islam.

Pada 2017, mahkamah Israel mengarahkan Bab al-Rahma terbabit ditutup sepenuhnya sehingga notis lanjut dikeluarkan.

39 ORANG

CEDERA DI GAZA

Dalam perkembangan ber­kai­tan, sekurang-kurangnya 39 orang penduduk Palestin cedera selepas ditembak dengan peluru hidup oleh Tentera Laut Israel semasa demonstrasi ‘Great March of Return’ di luar pesisir barat laut bandar Gaza, semalam.

Press TV melaporkan, selain itu, beberapa penduduk lain mengalami sesak nafas akibat gas pemedih mata yang dilontar oleh pasukan keselamatan rejim.

Tentera rejim Zionis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman berdekatan sempadan ma­ritim dengan Israel.

Kesemua mangsa dibawa ke hospital Dar al-Shifa, barat ban­dar Gaza bagi mendapatkan ra­wa­tan lanjut.

BINCANG PROSES

DAMAI ASIA BARAT

Dalam pada itu, menteri-menteri luar Ero­pah dan Arab mengadakan per­bincangan tertutup berhubung langkah terbaik untuk meneruskan proses damai Asia Barat di Ireland.

Menteri Luar Ireland, Simon Coveney mempengerusikan me­syuarat yang dihadiri oleh rakan sejawatnya dari Bulgaria, Cyprus, Mesir, Perancis, Jordan, Sepanyol, Sweden serta Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Malki.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh ketua Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit.

“Pengalaman lalu Ireland dapat membantu proses perbinca­ngan yang lebih baik antara se­mua pihak dalam mesyuarat ter­sebut.

“Perbincangan ini bukan ber­­tujuan melancarkan pro­ses da­mai baharu tetapi mencari jalan untuk menyokong serta menentukan pembabitan berkaitan isu ini,” kata jurucakap Kementerian Luar dalam satu kenyataan. – AGENSI/AFP