Bahagian perkhidmatan kecemasan wilayah itu menerusi laman Twitter bagaimanapun memaklumkan, hanya tiga daripada perusuh terbabit cedera parah manakala sebahagian besar yang lain hanya mengalami luka ringan.

Terdahulu, proses pungutan suara atau referendum untuk menuntut kemerdekaan wilayah itu daripada kerajaan Sepanyol tetap berlangsung walaupun dihalang oleh anggota polis yang bertugas.

Portal BBC melaporkan, pihak kerajaan juga terpaksa merayu agar pungutan suara itu dihentikan selepas Mahkamah Perlembagaan Sepanyol mengharamkan proses berkenaan.

Sementara itu, beberapa anggota polis dikatakan mencuba pelbagai cara untuk menghalang pengundi daripada mengundi, antaranya merampas kertas undi dan kotak berkaitan.

Bagaimanapun, para pegawai di wilayah terbabit yakin tindakan polis itu tidak menghalang orang ramai daripada menunaikan ‘tanggungjawab’ mereka.

Di bandar Girona, pasukan polis terpaksa bertindak keras bagi meleraikan rusuhan selepas orang ramai dikatakan berang kerana dilarang daripada me­ngundi.

Rakaman televisyen menunjukkan, ada dalam kalangan perusuh itu memecahkan tingkap di pintu masuk sebuah pusat sukan berhampiran serta merosakkan beberapa kemudahan awam lain.

Ribuan penyokong pemisah pula didakwa ‘menawan’ seko­lah serta bangunan lain yang menjadi pusat mengundi sebaik sahaja ia dibuka.

Agensi Reuters dalam pada itu melaporkan, pemimpin Catalonia, Carles Puigdemont antara calon yang tidak menghiraukan amaran polis untuk keluar me­ngundi hari ini.

Puigdemont bagaimanapun terpaksa mengubah lokasinya untuk tujuan itu iaitu berhampiran perkampungan Cornella del Terri di Girona selepas berlaku rusuhan di pusat mengundi asal hingga memaksa campur tangan polis. – AGENSI