Beliau memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh mencetuskan peperangan melibatkan masyarakat beragama Islam dengan komuniti Kristian.

“Austria memberitahu bahawa mereka ingin mengusir ulama kami dari negara mereka. Adakah anda rasa kami tidak akan mengambil sebarang tindakan? Itu bermakna kami perlu melakukan sesuatu,” katanya.

Kira-kira 360,000 penduduk yang berasal dari Turki menetap di Austria termasuk 117,000 yang memegang status warganegara itu.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas kerajaan Austria mengumumkan untuk me­ngusir sehingga 60 imam tajaan Turki serta keluarga mereka, selain menutup tujuh buah masjid sebagai usaha membendung ‘politik Islam’.

Menteri Dalam Negeri Austria, Herbert Kickl menyatakan bahawa tindakan tersebut melibatkan semua imam yang mempunyai kaitan dengan Organisasi Persa­tuan Budaya Islam Turki (ATIB).

Kickl turut memaklumkan bahawa kerajaan mengesyaki kumpulan imam berkenaan me­langgar larangan berhubung pembiayaan asing kepada pe­nga­mal agama di Austria.

Jurucakap Presiden Turki sebelum ini juga menyifatkan tindakan tersebut sebagai refleksi anti-Islam, berbaur perkauman dan diskriminasi.

Hubungan Ankara dan Vienna mula tegang sejak usaha untuk menggulingkan Recep Tayyip pada 2016 gagal, selain menyaksikan ribuan individu ditahan berhubung rancangan tersebut.

Selain itu, kerajaan Austria juga melarang pegawai Turki mengadakan mesyuarat di negara tersebut menjelang pilihan raya Presiden Turki yang bakal diadakan pada 24 Jun ini. – AFP