Ratusan penunjuk perasaan berkumpul sejak awal pagi di sekitar Champs-Elysees bagi menya­takan bantahan terhadap Presiden Emmanuel Macron yang didakwa hanya menjaga kepen­tingan golongan kaya.

Seorang peserta, Herve Benoit yang hadir bersama tiga rakannya menggesa kerajaan agar mencari jalan untuk me­ningkatkan kuasa beli rakyat dan mengenakan kenaikan cukai terhadap golongan kaya.

“Kami turun ke Paris agar suara kami didengari,” tegasnya.

Semalam, seramai 89,000 anggota keselamatan dikerah untuk memantau keadaan di seluruh negara.

Jumlah itu termasuk 8,000 anggota yang mengawasi beberapa kawasan penting termasuk di stesen kereta api di Champs-Elysees dan Monumen Bastille sekitar Paris.

Dalam pada itu sumber memberitahu, daripada kese­mua yang ditahan, 34 orang hadir ke demonstrasi tersebut dengan memakai topeng dan membawa penukul, batu serta lastik untuk menyerang polis.

Protes besar-besaran itu turut mengakibatkan kedai, muzium, dan Menara Eiffel ditutup manakala perlawanan bola sepak dan pertunjukan konsert juga dibatalkan.

Keganasan yang tercetus pada minggu lalu menyaksikan kira-kira 200 kereta dibakar dan Monumen Arc de Triomphe rosak teruk, selain menjejaskan Perancis dan ‘menghumban’ kerajaan pimpinan Macron ke dalam krisis terburuk.

Menteri Dalam Negeri, Christophe Castaner berkata, pihak­nya menjangkakan ‘hanya beberapa ribu orang’ akan berhimpun di Paris selepas jumlah 8,000 penunjuk perasaan direkodkan pada minggu lalu.

“Tunjuk perasaan tiga minggu lalu menghasilkan raksasa yang tidak dapat dikawal,” katanya. – AFP