Agensi berita Reuters me­laporkan, bandar raya pelanco­ngan popular di Taiwan itu dilanda gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter sejurus sebelum tengah malam Selasa turut mencederakan 265 orang.

Selain itu empat bangunan runtuh dan ratusan lain dipercayai masih hilang.

Penduduk sekitar mengalami lebih daripada 200 gegaran susulan termasuk gempa berukuran 5.7 pada skala Richter semalam dan gegaran kecil pada hari ini.

Pihak berkuasa tempatan berkata, gegaran susulan sekuat 5.0 pada skala Richter mungkin menggegarkan pulau berkenaan dalam masa dua minggu lagi.

Seorang penduduk, Yang Yantin berkata, gegaran susulan masih berlaku menyebabkan dia tidak berani tinggal di rumah­nya.

“Kawasan sekitar rumah saya masih dalam keadaan baik, semua rumah masih tidak terjejas. Disebabkan gegaran susulan tersebut, saya tidak mahu tinggal di sini lagi,” katanya.

Seorang saksi berkata, orang ramai melarikan diri dari sebuah bangunan kediaman dan pasukan keselamatan hanya mencari mang­sa di celah-celah timbunan serpihan bangunan runtuh selepas satu lagi gegaran susulan kuat melanda bandar tersebut pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini.

Hon kecemasan dibunyikan bagi memberi amaran kepada orang ramai supaya meninggalkan bangunan itu.

Sebanyak 150 orang dikhuatiri hilang dalam runtuhan bangunan dan dipercayai kesemua mereka terperangkap dalam bangunan 12 tingkat yang condong pada sudut 45 darjah.

Lebih 600 tentera dan 1,300 polis dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat.

Selain itu, kerajaan Taiwan turut memaklumkan, tiga rakyat China adalah antara mangsa yang terkorban. – AGENSI