Dalam temu bual untuk ranca­ngan dokumentari BBC sempena ulang tahun pertabalannya yang ke-65 tahun, baginda tanpa berselindung menceritakan pengalamannya menghadiri majlis diraja dan memakai beberapa mahkota diraja yang memainkan peranan simbolik dalam majlis berkaitan.

“Teruk, semuanya diperbuat da­ripada kulit dan tidak berapa selesa,” katanya tentang pengalaman menaiki kereta kuda seberat empat tan dari Istana Buckingham ke ge­reja yang merupakan lokasi pertabalan kerabat diraja sejak tahun 1066.

Baginda yang kini berusia 91 tahun, mewarisi takhta pada usia 25 tahun selepas kemangkatan ayahandanya, Raja George VI pada 1952 manakala per­­tabalannya diadakan pada tahun berikutnya.

“Saya ra­sa inilah per­­­mu­la­an ke­hidupan seseorang sebagai ke­rabat diraja. Macam pertunjukan kesatria dan inilah sebenarnya cara dahulu kala. Saya pernah melihat pertabalan (ayahandanya pada tahun 1937) dan pernah ditabal, ini sesuatu yang boleh dikatakan luar biasa,” katanya.

Mengimbau kembali ketika ditabalkan, ba­ginda menceritakan bagaimana sukarnya memakai pakaian pertabalan yang diperbuat daripada sutera bersulam mutiara, be­nang emas dan perak.

“Saya ingat suatu ketika hendak berjalan menuju ke permaidani tetapi saya ti­dak boleh bergerak langsung,” katanya.

Dokumentari ber­kenaan turut memaparkan ra­ka­­­man di belakang ta­­bir termasuk gambar anak lela­kinya yang juga pewaris takhta, Putera Charles ketika berusia empat tahun dan adik­nya, Anne sedang bermain dalam jubah panjang Ratu Elizabeth.

Charles pernah mendedahkan bagaimana ibunya berlatih memakai mahkota St. Edward seberat 2.2 kilogram ketika beliau sedang dimandikan.

Ratu Elizabeth memakai dua mahkota semasa menghadiri maj­lis iaitu mahkota St. Edward yang hanya dipakai sekali sahaja dan mahkota Imperial State bertatah berlian yang dipakainya semasa pembukaan Parlimen.

“Kamu tidak boleh tunduk semasa membaca teks ucapan, jadi kamu terpaksa mengangkat teks ucapan itu. Jika tidak, tengkuk kamu akan patah dan mahkota itu akan jatuh.”

“Jadi ada beberapa kelemahan tentang mahkota ini tetapi ia kelengkapan istiadat yang pen­ting,” katanya sambil tersenyum. – REUTERS