Sehingga tarikh itu, Ratu Elizabeth secara rasminya telah memerintah Britain selama 64 tahun, dua bulan dan 14 hari sejak menaiki takhta pada tanggal 6 Februari 1952, menggantikan bapanya, Raja George IV yang meninggal dunia.

Lahir pada 1926, Ratu Elizabeth menempuh perjalanan hidup yang penuh dengan suka dan duka, termasuk turut merasai sendiri pengalaman perit Perang Dunia Kedua selain menyaksikan sejarah penting ketika manusia mendarat di bulan dan melangkah ke zaman milenium.

Ketika Perang Dunia Kedua, beliau sanggup mengetepikan gelaran diraja untuk menabur bakti kepada Britain dengan berkhidmat dalam unit Perkhidmatan Pengangkutan Bantuan sebagai pemandu serta mekanik ambulans dan trak tentera.

Selepas ditabalkan sebagai Ratu Britain pada usia 25 tahun, Ratu Elizabeth membuktikan kemampuan dirinya sebagai pe- mimpin untuk mentadbir gugusan kepulauan Britain yang mempunyai keluasan 142,821.233 kilometer persegi dan didiami kira-kira 64.1 juta penduduk.

Satu demi satu pencapaian dilakar oleh beliau, antaranya telah melawat 116 buah negara menerusi 265 lawatan rasmi, sekali gus mencipta sejarah baharu Britain apabila mengatasi rekod ibu kepada moyang beliau, Ratu Victoria yang tidak pernah me-ninggalkan Eropah, walaupun ketika itu mentadbir lebih 70 buah negara di bawah jajahan British.

Malah pada tahun lalu, Ratu Elizabeth masih mampu melaksanakan 341 tugas rasmi di sebalik menghadapi masalah kesihatan disebabkan faktor usia.

Sebanyak 12 orang Perdana Menteri pernah berkhidmat di bawah pemerintahannya dan beliau pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa Presiden Amerika Syarikat (AS).

Ratu Elizabeth juga tidak terlepas daripada detik-detik suram apabila kehilangan menantu perempuannya, Puteri Diana yang maut dalam kemalangan jalan raya pada September 1997 dan beliau menerima kecaman oleh media tempatan kerana tidak pulang dengan segera ke London susulan tragedi itu, selain tidak mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung.

Sebagai Ratu Britain, pastinya ramai pihak ingin mengetahui kekayaan yang beliau miliki.

Berdasarkan laporan agensi berita Bloomberg, Ratu Britain itu memiliki harta peribadi bernilai AS$425 juta (RM1.65 bilion) termasuk dua buah kediaman mewah iaitu Sandringham House berharga AS$65 juta (RM252 juta) dan Balmoral Castle, bernilai AS$140 juta (RM543 juta).

Namun, kekayaan sebenar Ratu Elizabeth dan keluarganya adalah daripada perbadanan hartanah milik kerabat diraja, The Crown Estate yang menjana pendapatan berlipat ganda. Tahun lalu sahaja, beliau memperolehi sebanyak AS$54.5 juta (RM211.7 juta) hasil pegangan saham sebanyak 15 peratus dalam The Crown Estate.

The Crown Estate memiliki tanah seluas 263,000 ekar (106,432.324 hektar) yang dibangunkan sebagai kawasan industri, pejabat dan pusat jualan. Secara keseluruhannya, aset itu bernilai AS$16.5 bilion (RM64.1 bilion) dan Ratu Elizabeth serta keluarganya menerima 15 peratus daripada wang tersebut iaitu sebanyak AS$363 juta (RM1.41 bilion) setahun, hasil kutipan sewa, pembalakan, penjualan produk pertanian dan sumber asli.

Ratu Elizabeth juga menerima pendapatan kira-kira AS$19 juta (RM73.8 juta) pada tahun lalu daripada pembahagian saham syarikat hartanah Duchy of Lancaster yang memiliki tanah berjumlah 45,549 ekar (18,433 hektar).

Walaupun beliau tidak boleh terlibat secara langsung dalam pengurusan kedua-dua syarikat itu, tetapi pegangan saham dan pendapatannya akan diwarisi oleh pemerintah seterusnya sama ada anak lelaki atau cucu lelakinya.

Kekuatan kerabat diraja bergantung sejauh mana populariti mereka dalam kalangan rakyat dan sehingga kini, keluarga diraja Britain masih lagi popular di bawah pemerintahan Ratu Elizabeth.

Maka timbul persoalan tentang kemungkinan populariti itu akan menurun sekiranya Ratu Elizabeth diganti oleh anak lelaki sulungnya, Putera Charles yang terpalit dengan beberapa kontroversi termasuk kes penceraiannya dan sering menganggu urusan politik yang secara langsung melanggar Perlembagaan Britain.

Oleh yang demikian, Ratu Elizabeth mengambil langkah bijak dengan menyerahkan tugas lawatan rasmi kepada cucunya, Putera William dan isteri, Catherine Middleton yang begitu disenangi oleh rakyat dan masyarakat dunia.

Memetik laporan akhbar The Times, Ratu Elizabeth dikenali sebagai simbol kesinambungan dan pemimpin terbaik 
dalam sejarah Britain.

Malah, Perdana Menteri Britain, David Cameron dalam ucapannya baru-baru ini juga memuji Ratu Elizabeth kerana berpegang teguh kepada prinsip sepanjang pemerintahan beliau.

“Ratu Elizabeth merupakan lambang kekuatan Britain, negara-negara Komanwel serta kebanyakan negara di dunia,” katanya.