Ratu Elizabeth dengan nada keras turut menegaskan serangan itu sebagai ‘perbuatan kejam’ selain menyuarakan rasa simpati terhadap mangsa.

Nada sama disuarakan oleh May sambil memberitahu pihak berkuasa sedang bertungkus lumus untuk mencari punca sebenar serangan.

May yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan (COBRA) hari ini berkata, pihak berkuasa sedang me­ngumpul maklumat terperinci tentang tragedi itu yang disifatkan pihak polis sebagai serangan pengganas.

“Kami turut merasa amat sedih dan mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat,’’ katanya.

Sementara itu parti-parti politik Britain bersetuju untuk menangguhkan kempen pilihan raya sehingga dimaklumkan kelak.

Pemimpin Parti Buruh, Jere­my Corbyn me­lalui satu kenya­taan memaklumkan, beliau telah berbincang dengan May dan bersetuju semua kempen bagi pilihan raya 8 Jun ini ditangguh.

Pemimpin-pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Canselor Jerman, Angela Merkel; Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull sepakat mengecam insiden tersebut. – Reuters/Agensi