Hampir 80 peratus daripada responden di kawasan pendatang ditemui, memberitahu penyelidik Thailand dalam tinjauan itu, pembabitan kakitangan kerajaan dalam isu pemerdagangan manusia merupakan halangan terbesar dalam usaha mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.

Sebanyak 42.7 peratus lagi responden mengandaikan, undang-undang dan peraturan sedia ada juga menjadi faktor yang menjadikan isu itu menjadi lebih rumit dan sukar untuk diselesaikan.

Seorang pendatang Rohingya, Sanina berkata, pendatang tanpa izin perlu membayar wang kepada anggota penguatkuasa bagi mengelakkan mereka ditangkap.

“Kebanyakan pendatang membayar wang kepada ‘orang tengah’ untuk mendapatkan dokumen menunjukkan mereka boleh tinggal dan bekerja di Thailand,’’ katanya sebagaimana dilaporkan portal The Nation.

Thailand dilapor melonggarkan undang-undang dan peraturannya dengan memberikan kebenaran kepada beribu-ribu pendatang dari Myanmar, Laos, dan Kemboja untuk tinggal dan bekerja di negara ini secara sementara.

Pendatang yang layak untuk tinggal dan bekerja di Thailand bagaimanapun perlu melalui proses pengesahan kebangsaan.

Bagaimanapun, etnik Rohingya yang menaiki bot di Lautan Hindi tidak dapat memohon permit kerja itu kerana Myanmar enggan mengiktiraf mereka sebagai warganegara, termasuk orang hanyut dari Bangladesh yang dilarang mendapatkan permit kerja.

Menurut Sanina yang lebih 20 tahun tinggal di Thailand, satu-satunya cara bagi etnik Rohingya untuk selamat tinggal di Thailand adalah dengan membeli kad pengenalan negara ini.

Seorang pegawai di wilayah Ranong yang tidak mahu dikenali berkata, ada kemungkinan bagi etnik Rohingya untuk mendapatkan kad pengenalan Thailand, meskipun prosesnya agak sukar ketika ini, selepas skandal penjualan kad pengenalan itu dibongkar tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Komander Pejabat Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman Thailand di Ranong, Kolonel Suthipong Zhongpakdi mengakui penglibatan segelintir pegawai kerajaan dalam penyeludupan manusia selepas polis mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka yang terbabit.