Portal Metro.co.uk melaporkan, selain pisau, turut ditemukan adalah cermin pada bahagian mata tengkorak pahlawan itu yang dipercayai digunakan untuk membantunya semasa kehidupan selepas mati selain sepasang anting-anting.

Rangka manusia tersebut berasal dari Zaman Gangsa dan ditemukan semasa kerja ubah suai di sebuah bangunan bersejarah Rusia di Omsk.

Pakar Kementerian Kebuda­yaan Omsk, Albert Polovdov yang dipetik Siberian Times sebagai berkata, rangka manusia itu ditemukan dengan tangan kanannya memegang sebilah pisau belati yang menghala ke atas ‘se­olah-olah akan digunakan sebagai senjata untuk menikam’.

“Pada sebelah lagi tangannya sebilah pisau menghala ke bawah seperti mahu memotong sesuatu yang membayangkan corak pertempuran menggunakan kedua-dua senjata tersebut,” katanya.

Polovdov memberitahu, lelaki itu dipercayai membuat persiapan rapi sebelum memulakan langkah semasa berada di alam lain dengan mengandaikan pelbagai rintangan yang akan dihadapinya.

Sebanyak lima kubur ditemukan semasa kerja ubah suai itu namun empat rangka lain telah musnah.

Lelaki itu dikatakan hidup semasa zaman peralihan daripada Zaman Gangsa ke Zaman Besi yang bermakna pahlawan itu berusia antara 2,700 hingga 2,900 tahun.