Pengarah projek yang menjalankan pencarian di sekitar perairan Portugal, Jorge Freire berkata, daripada perspektif sejarah, ia merupakan penemuan terbesar dalam dekad ini.

“Di Portugal, ini merupakan penemuan penting setakat ini,” kata Freire.

Di dalam dan kawasan sekitar rangka kapal itu yang berada pada kedalaman 12 meter dari permukaan air, penyelam menemukan rempah, sembilan meriam gangsa, seramik China dan kulit siput, mata wang yang digunakan bagi perdagangan hamba semasa era kolonial.

Freire berkata, ditemukan pada 3 September lalu di pantai Cascais, sebuah pekan peranginan di pinggir Lisbon, bangkai dan objek itu didapati dalam keadaan baik.

Pasukan arkeologi itu percaya, kapal terbabit karam antara 1575 dan 1625 semasa perdagangan rempah antara Portugal dan India berada di kemuncak.

Pada 1994, kapal Portugis ‘Our Lady of the Martyrs’ ditemukan berhampiran Fort of Sao Julio da Barra, sebuah kompleks pertahanan tentera berhampiran Cascais.

Menteri Kebudayaan, Luis Mendes berkata, bagi satu tempoh yang lama, pakar arkeologi menganggap kuala sungai Tagus merupakan titik panas bagi rangka kapal.

“Penemuan rangka kapal ini membuktikan andaian tersebut,” katanya. – REUTERS